fbpx

Berapakah Kadar Harta Yang Boleh DiWasiatkan?

Berapakah kadar harta yang boleh diwasiatkan menjadi perkara pokok dalam kalangan umat Islam di Malaysia apabila hendak menyediakan wasiat. Merujuk kepada satu riwayat yang bermaksud:

Saad bin Abi Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku punya harta tetapi aku tidak punya ahli waris kecuali seorang putri, bolehkah aku berwasiat dua pertiga dari hartaku?” Baginda menjawab, “Tidak boleh.” Saad berkata, “jika tidak boleh, bagaimana jika setengah dari hartaku?” Baginda menjawab, “Tidak boleh.” Saad berkata, “jika tidak boleh, bagaimana sepertiga?” Jawab Rasulullah s.a.w, “sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut hadis dia atas, kadar harta yang dibenarkan oleh hukum syarak untuk diwasiatkan adalah setakat 1/3 daripada harta yang dimiliki oleh pewasiat.

Oleh itu, wasiat yang melebihi kadar 1/3 tersebut adalah tidak sah kecuali telah mendapat persetujuan dari waris-waris pewasiat selepas kematian pewasiat.

Perlu difahami juga dari hadis di atas bahawa wasiat 1/3 adalah kepada bukan waris. Bukan waris bermaksud seseorang yang tidak menerima harta pusaka secara faraid. Mereka antaranya termasuklah:

  • Anak angkat
  • Anak tiri
  • Anak tidak sah taraf (melainkan pusaka ibunya)
  • Anak susuan
  • Cucu dari anak lelaki (kewujudan anak lelaki pewasiat)
  • Cucu dari anak perempuan
  • Wakaf dan sedekah jariah

Bagaimana pula dengan dengan 2/3 bahagian lagi? Merujuk surah an-Nisa’ ayat 11. 12 dan 176, ahli waris telah ditetapkan bahagiannya secara faraid. Oleh itu, pewasiat boleh menyatakan pemberian baki 2/3 bahagian tersebut secara faraid kepada ahli warisnya melalui wasiat tersebut sebagai panduan kepada ahli waris semasa mentadbir harta pusaka.

Sekiranya pewasiat hendak menyatakan pemberian kepada waris faraid tanpa mengikut had faraid yang telah ditetapkan, pemberian tersebuta akan tertakluk kepada persetujuan semua ahli waris pewasiat selepas kematiannya nanti.

Oleh itu, pewasiat boleh mewasiatkan 1/3 hartanya kepada bukan waris manakala 2/3 kepada ahli warisnya. Ini adalah kerana samaada dinyatakan atau tidak, baki harta pusaka tetap menjadi milik ahli waris seperti mana yang telah dinyatakan di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dan surah an-Nisa’ ayat 11. 12 dan 176.

BOLEHKAH BERWASIAT KEPADA WARIS?

Jumhur ulama’ bersepakat bahawa wasiat kepada waris adalah tidak sah kerana waris menerima bahagian Faraid sepertimana firman Allah di dalam surah an-Nisa’ ayat ayat 11, 12 dan 176. Merujuk kepada hadis Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh al-Tirmizi yang bermaksud:

“Allah telah memberikan bahagian kepada setiap yang berhak. Oleh itu, tiada wasiat untuk pewarisnya.”

Walaubagaimanapun jika mendapat keizinan waris-waris, maka wasiat yang menyatakan pemberian kepada waris adalah sah sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Daraqutni yang bermaksud:

“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.”

Persetujuan waris-waris ini hendakah dibuat selepas kematian pewasiat.

BAGAIMANA KADAR HARTA DISUKAT ATAU DITENTUKAN?

Bukanlah menjadi satu kemestian untuk berwasiat hanya apabila menghadapi saat kematian. Malah digalakkan membuat wasiat lebih awal ketika dalam keadaan sihat dan dalam keadaan mempunyai kemampuan.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi, dari Ibnu Abbas, Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara:
Masa sihat sebelum sakit;
Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin);
Masa lapang sebelum tiba masa sibuk;
Masa mudamu sebelum datang masa tua; dan
Masa hidup sebelum tiba masa mati.”

Berdasarkan daripada hadis ini,  pewasiat digalakkan membuat wasiat ketika dalam keadaan masih sihat, masih berkemampuanmasih berkelapangan dan bukanlah membuat wasiat ketika telah menjelang usia tua.

Pewasiat boleh mewasiatkan kesemua atau sebahagian hartanya dengan panduan pembahagian 1/3 kepada bukan waris dan 2/3 kepada waris. Kadar pembahagian ini hanya boleh ditentukan dengan tepat apabila pewasiat telah meninggal dunia. Pewasiat tidak disyaratkan untuk menyatakan nilai semasa hartanya di dalam wasiatnya.

Ini adalah kerana, ketika pewasiat masih hidup, potensi perubahan dan pergerakan harta adalah sangat tinggi. Pewasiat masih bebas dan berkuasa untuk menambah atau mengurangi hartaya dan membeli harta yang baru. Pewasiat juga bebas untuk menjual  harta dan membuat hibah serta amanah atas harta harta miliknya kepada sesiapa yang dikehendakinya. Kebebasan ini tidak terhad malah boleh sehingga keseluruhan harta miliknya.

Maka, waktu terbaik dalam menentukan kadar 1/3 atau 2/3 adalah sesudah kematian pewasiat, setelah diasingkan harta yang telah dihibah dan diamanahkan serta setelah dilunaskan segala tunggakan akhirat dan hutang dunia.

Klik Disini untuk dapatkan Pelan Tindakan Pewarisan khusus untuk anda dengan hanya jawab beberapa soalan secara online (tidak perlu beri nama, emel atau nombor telefon).
Cukup mudah untuk memahami serta mengetahui bagaimana ianya releven kepada anda dan keluarga.

Disediakan Oleh,

PUAN NORHANISAH JOHAR
Penasihat Syariah Pewarisan.com

Lagi Artikel menarik

Melantik Penjaga Harta Anak Bawah Umur Adalah Hak Eksklusif Bapa Dalam Wasiat

Jika suami tidak meninggalkan WASIAT pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.

Norhanisah

Penasihat Syariah Pewarisan.com

Kenali Penasihat Syariah kami, Puan Norhanisah bte Johar, seorang peguam yang mempunyai berpengalaman luas dalam bidang guaman sivil dan syarie.

Para Isteri Perlu Tahu….

Apa akan terjadi jika suami meninggal dunia tanpa membuat Dokumen Pewarisan. Suami/Isteri patut tahu dan mula merancang demi keluarga tersayang

Sila LIKE FB page kami

Sila kongsikan melalui


Scroll to Top