fbpx

Melantik Penjaga Harta Anak Bawah Umur Adalah Hak Eksklusif Bapa Dalam Wasiat

Jika suami tidak meninggalkan WASIAT pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.

Ini adalah kisah benar untuk diambil iktibar. Kisah ini pernah saya kongsikan pada tahun 2016 dan telah diulangkongsi dan dicapai oleh kira-kira 500,000 pembaca. Ianya adalah perbualan antara saya dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suami kira-kira 14 tahun lepas. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor meninggal dunia kerana sakit ketika usia anak masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka.

Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, puan Imah telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kredit kad dan hutang rumah sehinggalah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikannya. Lebih setahun jugalah urusan pusaka itu baru selesai.

Namun puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak pusaka kecil yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya. Hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia 6 tahun tidak diberikan ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung anak tersebut, yang melahirkan dan membesarkan anak tersebut. Puan Imah ketika itu sihat akal dan tubuh badan, berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya dan tiada sebarang rekod jenayah tetapi undang-undang memutuskan dia bukan penjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya itu.

Ekoran daripada perintah pusaka tersebut, selama 14 tahun ini Puan Imah membesarkan anaknya dengan duit gajinya. Nasib baik dia bekerja dan duit gajinya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka 2 beranak. Walaubagaimanapun ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang dibawah jagaan Amanah Raya.

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di perbadanan tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya. Pada ketika itu, mengambil masa kira-kira 2 minggu untuk permohonan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat tersebut terletak lebih kurang 80km. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri untuk ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun dan berterusan sehingga anak itu mencapai umur 18 tahun.

Dari peristiwa yang dikongsikan oleh ibu tunggal ini dapatlah disimpulkan bahawa ramai bapa tidak menyedari tentang peruntukan perlantikan penjaga harta yang telah diwartakan di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen-enakmen setiap negeri.

Peruntukan ini memberikan hak eksklusif kepada seorang bapa untuk menentukan siapakah penjaga harta dan kepentingan bagi anak-anaknya yang masih kecil apabila berlaku kematiannya kelak. Peruntukan ini secara jelas khusus menyatakan bahawa perlantikan tersebut hanya boleh dibuat oleh bapa melalui wasiat.

Seksyen 88. Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (2) menyatakan:

“Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan jagaan anak-anaknya yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi kepentingan mereka, dengan syarat bahawa dia adalah siuman sepenuhnya.”

Sekiranya seorang bapa yang mempunyai anak masih di bawah umur tidak membuat wasiat atau membuat wasiat tetapi di dalam wasiatnya tidak dinyatakan siapa yang akan menjaga kepentingan dan kebajikan anak-anak tersebut, maka peruntukan syarak berkaitan orang yang berhak menjaga anak tersebut adalah datuk lelaki di sebelah bapa, jika tiada, wasi yang dilantik menurut wasiat bapa akan mengambil alih tugas tersebut.

Jika seorang bapa tidak membuat wasiat, maka penjagaan kepentingan anak tersebut mengikut amalan semasa di Malaysia adalah akan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad.

Oleh itu, bapa perlu bijak menggunakan hak eksklusif yang telah diperuntukan oleh undang-undang dalam hal menentukan dan melantik penjaga harta dan kepentingan anak-anaknya yang masih dibawah umur 18 tahun. Seorang bapa bebas melantik siapa sahaja yang difikirkan baik termasuklah melantik isteri (ibu anaknya) sebagai orang yang paling berhak menjaga harta dan kepentingan anaknya setelah kematiannya nanti.

Klik Disini untuk dapatkan Pelan Tindakan Pewarisan khusus untuk anda dengan hanya jawab beberapa soalan secara online (tidak perlu beri nama, emel atau nombor telefon).
Cukup mudah untuk memahami serta mengetahui bagaimana ianya releven kepada anda dan keluarga.

Disediakan Oleh,

PUAN NORHANISAH JOHAR
Penasihat Syariah Pewarisan.com

Lagi Artikel menarik

Melantik Penjaga Harta Anak Bawah Umur Adalah Hak Eksklusif Bapa Dalam Wasiat

Jika suami tidak meninggalkan WASIAT pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.

Norhanisah

Penasihat Syariah Pewarisan.com

Kenali Penasihat Syariah kami, Puan Norhanisah bte Johar, seorang peguam yang mempunyai berpengalaman luas dalam bidang guaman sivil dan syarie.

Para Isteri Perlu Tahu….

Apa akan terjadi jika suami meninggal dunia tanpa membuat Dokumen Pewarisan. Suami/Isteri patut tahu dan mula merancang demi keluarga tersayang

Sila LIKE FB page kami

Sila kongsikan melalui


Scroll to Top