fbpx
Pengesat air mata janda
Dr Norsuhaida Che Musa
August 28, 2021
Pengesat air mata janda

SERING kali mendengar kisah penganiayaan dan pengabaian wanita tanpa pembelaan selepas diceraikan suami sehingga memberikan kesan emosi yang sangat teruk.

Ditambah pula kekurangan pengetahuan berkaitan perundangan syariah menyebabkan wanita terus ditindas dan terpaksa meneruskan kehidupan dalam kepayahan bersama anak-anak tanpa nafkah.

Melihat senario yang tidak berkesudahan ini mendorong sekumpulan 10 peguam syarie bekerjasama memberikan khidmat konsultasi percuma kepada wanita yang mempunyai masalah rumahtangga di Klinik Guaman Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Semua peguam ini adalah alumni Fakulti Syariah dan Undang-Undang universiti berkenaan.

Koordinator Klinik Guaman itu, Dr Norsuhaida Che Musa berkata, matlamat penubuhan klinik ini untuk memastikan wanita tidak terus melakukan kekhilafan dalam mengharungi kemelut rumah tangga kerana kekurangan maklumat dan nasihat perundangan.

Menurutnya, peguam di klinik berkenaan membantu wanita mengetahui hak, tindakan perlu dilakukan selepas diceraikan, merangka strategi untuk memudahkan permohonan atau tuntutan dan menggalakkan penyelesaian di luar mahkamah.

“Kira-kira 40 kes rumah tangga dirujuk di klinik ini dan lebih 50 peratus kes sudah difailkan ke mahkamah untuk perbicaraan sejak Mac lalu,” katanya.

SEREMBAN 22 NOVEMBER 2019. Koordinator Klinik Guaman Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr Norsuhaida Che Musa ditemui di Klinik Guaman Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Katanya, ada wanita yang datang ke klinik ini sudah lama memendam masalah rumah tangga kerana tidak mengetahui cara mendapatkan khidmat peguam.

“Selain itu mereka juga bimbang kos khidmat guaman yang tinggi, sedangkan mereka boleh menggunakan saluran seperti klinik ini,” katanya.

Tambahnya, keistimewaan ditawarkan di klinik itu ialah kos khidmat guaman memfailkan kes ke mahkamah adalah lebih rendah berbanding firma guaman lain.

“Malah, kami memberi khidmat pro bono iaitu khidmat guaman cara percuma kepada pelanggan mempunyai masalah kewangan.

“Setakat ini tiga kes khidmat pro bono dilaksanakan yang membabitkan suri rumah ditinggalkan suami tanpa sumber kewangan,” katanya.

Norsuhaida berkata, ramai wanita datang ke klinik ini dalam keadaan kemurungan kerana tertekan dengan masalah rumahtangga.

“Tetapi mereka mampu tersenyum selepas mengikuti sesi konsultasi di klinik ini.

“Wanita yang mempunyai masalah rumah tangga atau diceraikan perlu terlebih dahulu mendapatkan konsultasi guaman kerana ia boleh menjimatkan masa dan kos mereka,” katanya.

Peguam Syarie Abdul Muim Abdullah berkata, peguam yang terbabit dalam klinik berkenaan adalah kalangan peguam muda yang baru memulakan kerjaya itu dalam tempoh perkhidmatan kurang lima tahun.

“Peguam muda memerlukan banyak kes untuk mempelajari ilmu dan selok belok mengendalikan kes di mahkamah.

“Ilmu dan pengalaman ini sangat penting sebagai persediaan mengendalikan kes yang lebih besar serta meningkatkan prestasi kerjaya,” katanya.

Selain itu, Abdul Muim berkata, seramai 15 penuntut terdiri daripada lapan penuntut jurusan undang-undang sivil dan tujuh penuntut jurusan undang-undang syariah menjadi jawatankuasa khas di klinik berkenaan.


Artikel dari Harian Metro
Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 9:00am
https://www.hmetro.com.my/utama/2019/11/522044/pengesat-air-mata-janda

Sila kongsikan melalui


Penulis blog

Dr Norsuhaida Che Musa
Dr Norsuhaida Che Musa
Klinik Guaman USIM
Nilai,
Negeri Sembilan
Pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Penyelaras Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang- Undang (2019-2022)
(Sebab 4) Kenapa Berwasiat: Memastikan senarai harta tak terlepas pandang oleh Waris.
(Sebab 4) Kenapa Berwasiat: Memastikan senarai harta tak terlepas pandang oleh Waris.
KES MAHKAMAH SYARIAH : LAFAZ CERAI-APA KENA BUAT?
KES MAHKAMAH SYARIAH : LAFAZ CERAI-APA KENA BUAT?
KES MAHKAMAH SYARIAH : TUNTUTAN SELEPAS PERCERAIAN
KES MAHKAMAH SYARIAH : TUNTUTAN SELEPAS PERCERAIAN
KES MAHKAMAH SYARIAH : PENGESAHAN RUJU’
KES MAHKAMAH SYARIAH : PENGESAHAN RUJU'
Para Isteri Perlu Tahu….
Para Isteri Perlu Tahu....
eBook Prosedur A-Z Urus Cerai Sendiri
eBook Prosedur A-Z Urus Cerai Sendiri
Pengesat air mata janda
Pengesat air mata janda
Mudahkan faraid harta
Mudahkan faraid harta
Melantik Penjaga Harta Anak Bawah Umur Adalah Hak Eksklusif Bapa Dalam Wasiat
Melantik Penjaga Harta Anak Bawah Umur Adalah Hak Eksklusif Bapa Dalam Wasiat
Berapakah Kadar Harta Yang Boleh DiWasiatkan?
Berapakah Kadar Harta Yang Boleh DiWasiatkan?
Hukum Orang Islam Membuat Wasiat Dari Perspektif Syarak
BUKU FARAID MUDAH FAHAM: Langkah pertama belajar faraid
BUKU FARAID MUDAH FAHAM: Langkah pertama belajar faraid